Wednesday, October 13, 2010

MAGIKA (2010) ~ pujian secara tebuk-tebuk?

pengarah & penulis skrip: Edry Abdul Halim
genre: drama fantasi muzikal
http://www.krustudios.com/magika

Magika memberikan keperluan wajib elemen penceritaan yang paling konservatif iaitu muzikal di atas tapak teknologi terkini yakni kecanggihan CGI. Siapa hendak menafikan bahawa kewajipan babak bergurindam dalam pembikinan awal filem-filem Melayu dahulu yang menekap sepenuhnya identiti filem Tamil? Filem ini seolah menyatakan "nah!" kami persembahkan pementasan besar-besaran warna-warni terlebih-lebih kemustahilan dunia fantasi ke layar perak, tetapi isinya adalah adaptasi dongeng klasik Melayu yang telah di-remix! Walaupun tak sehebat dunia filem epik atau science fiction dari Hollywood tetapi pembikin filem berbajet kecil di Malaysia juga mampu sekurang-kurangnya membikin sesuatu yang merealisasikan dunia khayalan. Adakah kita patut merasa bangga? Sudah tentu!

Itu dari sudut idea asas rangka-bina pembikinan what if yang sejujurnya saya salut. Bagaimana pula dari sudut kualiti isi cerita dan pemilihan pelakonnya?

Berikut ialah tekaan saya..setiap orang penonton yang keluar dari panggung selepas menyaksikan Magika akan sekurang-kurangnya gembira dengan kemampuan filem ini menghiburkan dari berbagai sebab. Mungkin kerana kelakarnya watak lakonan si-polan atau romantisnya watak si-anu dengan si-dia. Barangkali juga ada khalayak yang seronok dengan kemunculan seseorang pelakon yang diminati dari segerombolan bintang ternama di dalamnya. Agaknya juga kerana kebagusan special effect pada babak-babak tertentu. Eh! Sedapnya suara nyanyian si penyanyi yang itu atau yang ini. Yay! Dia pun berlakon juga dalam filem ini walaupun cameo?..atau "tak sukalah lakonan si-mamat atau si-minah tu yang kayu atau gedik!" dan lain-lain komentar. Maksud saya filem ini berjaya menimbulkan pujian (atau sebaliknya) serta berbagai reaksi dan respons hasil penontonannya secara tebuk-tebuk, bukannya secara keseluruhan.

Ya! Kalau magis dalam filem ini sudah mampu dibikin dengan bantuan teknologi, mungkin di masa akan datang KRU Studios mampu melabur pula dari sudut human capital untuk mengemaskan lagi sehabisnya naratif filem seterusnya serta betul-betul ketat membuat ujibakat untuk pemilihan pelakon utama yang terbaik ya amat! Tetapi mampukah mereka mengetepikan keperluan nafsu komersialisme?

Namun begitu Magika sesuatu yang sudah hampir sangat bagus. Hampir!

Friday, October 01, 2010

CHARLIE ST. CLOUD (2010) ~ garis halus di antara ajaib dan gila?

pengarah: Burr Steers
penulis skrip: Craig Pearce
cerita asal: novel The Death and Life of Charlie St. Cloud oleh Ben Sherwood
genre: drama fantasi supernatural
http://www.charliestcloud.com/

Filem ini mengadun kisah romantis dan kekeluargaan. Pahit dan manis. Ia mengundang rasa kasihan dan bertanya erti peluang ke-2 samada hendak digunakan untuk bergerak ke masa hadapan atau masih terperangkap dengan kenangan silam? Semuanya kerana kehilangan seseorang kesayangan yang tidak mampu dikembalikan dalam bentuk yang asal.

Plot asasnya sangat mudah. Charlie St. Cloud (Zac Efron) tidak dapat menerima kenyataan bahawa adiknya Sam St. Cloud (Charlie Tahan) sudah mati kerana kemalangan jalanraya melibatkan mereka. Lantas setiap hari dia berhalusinasi (atau mungkin benar) untuk bermain baseball dan bersembang dengan roh Sam di belukar yang dijanjikan semasa hayat adiknya. Rutin itu adalah kewajiban setiap kali selepas tembakan meriam menandakan waktu senja sudah tiba.

Ritual itu sahaja yang menjadikan kehidupan Charlie mampu diteruskan sepanjang 5 tahun berikutnya. Dia meninggalkan segala kewarasan, kepakaran meluncur kapal layar dan peluang pilihan karier lain. Charlie sanggup bekerja sebagai penjaga kubur yang berdekatan dengan belukar tempat permainannya dengan Sam.

Persoalannya adakah kita percaya?

Didatangkan pula watak Tess Carroll (Amanda Crew) gadis yang menjadi orang ke-3 di antara hubungan adik-beradik Charlie-Sam yang aneh itu. Begitu juga dengan kemunculan semula watak Florio Ferrente (Ray Liotta) ahli paramedik yang menyelamatkan nyawanya semasa kemalangan jalanraya dahulu. Florio yang sedang sakit seakan meyakinkan Charlie bahawa apa yang berlaku kepadanya ada tujuan tertentu. Segalanya akan dibuktikan dan diselesaikan apabila Charlie mula menyayangi Tess selain daripada Sam.

Filem ini boleh saya katakan sebagai sebuah melodrama yang agak menyayat hati. Penceritaanya terasa perlahan tetapi boleh diikuti dengan tekun. Ia mampu mengundang sebak setiap kali momen Charlie dan Sam bertemu untuk bercerita tentang apa saja. Naratifnya menyadurkan rasa kasih-sayang kekeluargaan yang mustahil tetapi sangat meyakinkan. Semuanya berlaku kerana keperluan untuk meneruskan pendirian hidup dari dasar sebuah kematian? Sejujurnya saya percaya, walaupun Charlie St. Cloud adalah sebuah kisah tentang remaja yang berada di atas garis halus di antara ajaib dan gila.

Wednesday, September 29, 2010

WALL STREET: MONEY NEVER SLEEPS (2010) ~ bagai jarum halus kelindan sutera?

pengarah: Oliver Stone
penulis skrip: Allan Loeb & Stephen Schiff
genre: drama thriller
http://www.wallstreetmoneyneversleeps.com/

Tidak dapat dinafikan bahawa tarikan paling utama untuk menonton filem sekuel kepada Wall Street (1987) ini ialah satu-satunya kerana watak Gordon Gekko lakonan berkarisma mantap oleh Michael Douglas. Rencah-ratus ceritanya kali ini semakin menarik bukan sekadar tentang ketamakan mengaut keuntungan wang-ringgit melalui pasaran saham, malahan ia digelumangi dendam kesumat lampau dan terkini berkaitan sesama watak-wataknya.

2002, babak pembukaan filem ini di hari pembebasan penjenayah kolar putih, Gordon Gekko dari penjara sudah memberikan sedikit gambaran bahawa susuk tua ini bukan sebarangan orang. Tiada sesiapa pun yang menunggunya di luar pintu pagar penjara seolah-olah dia orang buangan yang tiada keluarga atau kawan. Momen itulah yang membuakkan lagi dendam Gordon Gekko kepada seseorang atau beberapa orang?

*untuk sinopsis penuh baca kat wikipedia yer! hehehe..

Penceritaan dan jalinan plot filem ini begitu kemas walaupun nampak berpintal-pintal. Semua perwatakan mempunyai agenda dan motif masing-masing untuk kepentingan diri sendiri. Walaupun kebanyakan ulasan filem ini melihatnya dari sudut makna spekulasi dalam pasaran saham seperti juga filem yang terdahulu, tetapi saya merasakan bahawa ia lebih bermain dengan drama api dendam masing-masing.

Dendam terbesar dalam diri Gordon Gekko ialah anaknya sendiri Winnie Gekko! (Carey Mulligan). Sementara Jacob 'Jake' Moore (Shia LaBeouf) kekasih Winnie dipergunakan untuk melunaskan dendamnya yang satu lagi kepada Bretton James (Josh Brolin). Tambahan pula kerana Jake sememangnya hendak memusnahkan syarikat dan karier Bretton yang menjahanamkan syarikat mentornya terdahulu, Lewis Zabel (Frank Langella).

Jake seperti anak yang kehilangan bapa adalah protege terbaik kepada mentor barunya, Gordon Gekko. Kesanggupan Jake bekerja dengan James kononnya sebagai gunting dalam lipatan memakan dirinya sendiri. James bukan sebarangan ahli korporat kerana dialah yang telah memenjarakan Gordon kerana dagangan haram saham (nota: Gordon Gekko bukan dipenjarakan kerana kesalahannya yang diadukan oleh Bud Fox dalam filem Wall Street 1987). Akhirnya Jake yang menjadi kambing hitam alat permainan kotor kepada kedua-dua Gordon dan James. Malahan Jake dipergunakan sepenuhnya oleh Gordon untuk mendekati Winnie kononnya bertujuan memperbaiki hubungan anak-bapa. Namun begitu, muslihat itu akan menguntungkan Gordon Gekko secara mutlak persendirian.

Filem ini sebuah karya yang berjaya berdiri sendiri tanpa bergantung banyak kepada prekuel sebelumnya. Konflik Gordon-James sebagai backstory bukan berasal dari Wall Street 1987. Pergeseran dalaman keluarga Gordon-Winnie mengenai kematian Rudy anak sulung Gordon/abang Winnie (yang tiada langsung flashback dalam filem) juga diangkat dengan teliti tanpa berkait dengan apa-apa dari filem terdahulu. Keperluan menonton filem sebelumnya cuma untuk mendalami kesinambungan punca kenapa Gordon Gekko berperwatakan sebegitu pada hari ini? Sementara watak ibu Jake iaitu Sylvia Moore (Susan Sarandon) yang sesuka-hati melabur pasaran hartanah pula dikontraskan dengan watak Carl Fox (Martin Sheen) bapa kepada Bud Fox (Charlie Sheen) yang lebih berjimat-cermat dalam Wall Street 1987?

Wall Street: Money Never Sleeps (2010) arahan Oliver Stone ini sangat bagus!..bagai jarum halus kelindan sutera?

*ulasan lain:
~ sultanmuzaffar @ gua.com.my
~ Syazwan Zakariah @ Utusan Malaysia


Monday, September 27, 2010

THE AMERICAN (2010)

pengarah: Anton Corbijn
penulis skrip: Rowan Joffe
cerita asal: novel A Very Private Gentleman oleh Martin Booth
genre: crime, drama, thriller
http://focusfeatures.com/film/the_american/

Filem ini seakan api dalam sekam yang perlahan-lahan membakar perasaan dari dalaman. Sebahagian besar latarnya sangat cantik tetapi kasar di perkampungan klasik pergunungan Castel del Monte, Abruzzo, Itali. Maka sudah tentulah perjalanan ceritanya juga begitu terasa ke-Eropah-an di tangan pengarah Anton Corbijn. Filem ini terasa seperti perlahan, kurang dialog dan begitu kerap memaparkan momen-momen yang sunyi tetapi penuh makna serta begitu mendebarkan.

*BACA ULASAN SETERUSNYA DI LAMAN SESAWANG >> TUPAI.COM.MY atau CINEMA.COM.MY

Sunday, September 19, 2010

DEVIL (2010)

pengarah: John Erick Dowdle
cerita asal: M. Night Shyamalan
penulis skrip: Brian Nelson
genre: supernatural mystery thriller
http://thenightchronicles.com/devil/

Salah seorang dari 5 penumpang di dalam lif ialah syaitan. Seorang demi seorang akan dibunuh kerana dosa masing-masing. Sementara 3 orang lagi menyaksikannya di monitor tv bilik kawalan bangunan. Persoalannya siapakah yang syaitan dan siapa pula yang akan mati seterusnya? Filem ini menggunakan struktur naratif ala penceritaan whodunit dan urband legend yang mengambil latar lagenda/mitos The Devil's Meeting. Semua suspek terperangkap dalam lokasi yang sama dimana Detective Bowden (Chris Messina) dan juga penonton cuba meneka siapakah pembunuh yang juga syaitan bertopengkan manusia? Limitasi lokasi yang sangat terhad di dalam lif sahaja untuk sebahagian besar filem ini mengingatkan saya kepada filem 12 Angry Men (1997) atau Phone Booth (2003). Pembikinan filem sebegini kelihatan mudah dan jimat kerana menggunakan set yang kecil dan terhad tetapi sebenarnya sukar kerana jarak kamera sentiasa dekat dengan semua pelakon dalam lif. Itulah kelebihan utama filem ini kerana berjaya menimbulkan perasaan claustrophobia. Ia juga mengambil sedikit ala filem-filem realisme bercerita dari penontonan monitor tv dimana dalam filem ini ialah visual dari CCTV di dalam lif. Perwatakan dari setiap mangsa iaitu Tony (mekanik bekas askar), Sarah (isteri orang kaya), Ben (pengawal bangunan sementara), Jane (wanita tua), and Vince (jurujual) masing-masing mempunyai latar yang 'wajar' dibunuh oleh syaitan sebelum dibawa ke neraka. Penonton akan merasa tertekan kerana terperangkap bersama watak-watak ini. Suntingan filem yang mudah dengan hanya merakamkan bunyi gedebak-gedebuk seseorang sedang dibelasah dan dibunuh oleh syaitan dalam gelap memanglah murah, tetapi sangat berkesan untuk mengujakan penonton kerana menunggu siapakah mangsa seterusnya yang mati bila lampu terpasang semula. Pengulangan sekuen babak yang sama berulangan sehingga akhirnya menyerlahkan siapakah syaitan yang sebenarnya? Manakala Detective Bowden akan menemui jawapan apakah kaitan semua kejadian itu dengan kematian isteri dan anaknya 5 tahun yang lalu? Oh! jangan keliru bahawa filem ini bukan arahan Shyamalan tetapi cerita asal dan terbitannya sahaja yer! hahaha..

Saturday, September 18, 2010

Piranha (2010)

NOTA: mungkin ada spoiler!

pengarah: Alexandre Aja
penulis skrip: Pete Goldfinger, Josh Stolberg, Alexandre Aja, Grégory Levasseur
genre: comedy horror thriller
http://piranha-3d.com/

Plot asas filem ini mudah dan ringkas sahaja iaitu seperti semua orang sudah tahu bahawa ikan Piranha adalah sejenis haiwan karnivora atau maging (makan daging). Jadi jangkaan awal penonton yang sanggup menonton filem ini ialah bagaimana agaknya cara dan rupanya ikan Piranha menyerang lalu memakan daging manusia eh? hahaha.. Di babak pembukaan filem ini secara satira telah memperkenalkan mangsa pertamanya ialah pakcik tua Matthew Boyd (cameo Richard Dreyfuss) yang sudah tentu mengingatkan kepada watak Matt Hooper dari filem Jaws (1975) sebagai tribute. Filem ini juga menggunakan acuan yang hampir sama dari filem Jaws cuma dikreatifkan. Kali ini watak utama ketua polis digantikan jantina kepada wanita iaitu Sheriff Julie Forester (Elisabeth Shue) dan laut ditukar kepada tasik. Ia mengulang struktur filem-filem bertemakan disaster seperti Twister (1996) dimana mestilah menampilkan sekumpulan pakar; seismologist dan marine biologist gunanya ialah untuk menerangkan dan meyakinkan kepada penonton bahawa kewujudan ikan Piranha purba itu adalah betul-betul nyata! Di samping itu dalam filem seram ngeri sebegini kita perlukan watak-watak mangsa yang penonton suka kalau dia cepat mati, kesian kalau dia mati dan wira yang terkorban. Malahan filem ini ada babak seakan-akan kejahanaman dan percintaan ala Titanic (1997). Cuma jangan risau kerana filem ini tidak mengorbankan kanak-kanak kecuali daging-daging montok pria dan gadis separuh bogel sedang berpesta di pinggiran tasik! Sekuen-sekuen babak bagaimana ikan Piranha membaham manusia dipecahkan kepada beberapa bahagian; serangan kepada kumpulan seismologist (kepastian) diikuti oleh babak besar di tebing tasik (tragedi besar-besaran) dan bot dinaiki oleh anak-anak Julie (peribadi). Filem sebegini tidak perlukan sangat banyak plot atau dialog bersembang kerana momen yang penting ialah apabila ikan-ikan Piranha menyerang tanpa belas kasihan! Kekuatan utama filem ini ialah dari segi penggunaan CGI 3D sepenuhnya untuk merealisasikan keganasan, kengerian dan kewujudan ikan-ikan Piranha di dalam air. Sekuen babak serangan bertubi-tubi ikan Piranha di tepi tasik yang menjadi klimak paling ngeri havoc berjaya divisualkan dengan begitu tragik! Filem ini adalah kepuasan maksima bagi peminat filem seram (dan humor) yang mampu sesekali mengalihkan pandangan saya dari layar lebar! hahaha!..

Thursday, September 16, 2010

Repo Men (2010)

pengarah: Miguel Sapochnik
penulis skrip: Eric Garcia & Garrett Lerner
cerita asal: novel Repossession Mambo oleh Eric Garcia
genre: science fiction action thriller
http://www.repomenarecoming.com/

Ia mengerikan dan menggelikan kerana melibatkan babak-babak pembedahan (pembelahan) tubuh manusia secara visual berdarah-darah! Filem yang menggunakan sepenuhnya perkembangan perwatakan Remy (Jude Law) daripada seorang yang melakukan kejahatan (kerja) yang sah bertukar/berkembang kepada sebagai seorang mangsa terhadap kejahatan itu sendiri. Boleh dianggap sebagai perwatakan antihero kerana wataknya diterbalikkan dari jahat ke baik kerana desakan peribadi iaitu pada plot point atau inciting incident yang berlaku (dilakukan) kepadanya iaitu 'kemalangan' menyebabkan dia sendiri memiliki organ pinjaman yang akan ditebus kembali oleh rakan sekerjanya sendiri atau repo-men dari The Union. Filem ini bermain dengan persoalan what if kita bertukar tempat dari pemangsa kepada mangsa? Ia akan mengubah pandangan dan tindakan seterusnya oleh Remy untuk survival walaupun terpaksa berdepan dengan sahabat karibnya sendiri Jake (Forest Whitaker) yang kini menjadi musuhnya manakala Beth (Alice Braga) menjadi rakan seperjuangan yang juga gandingan wajib klise Hollywood lelaki-perempuan. Naratif filem ini bergerak ke depan dengan plot yang agak boleh dijangka iaitu semua kronologi di bahagian awal cerita adalah kejadian yang betul-betul terancang untuk 'mengenakan' Remy. Pembelotan oleh Jake iaitu kawan atau buddy yang paling dipercayai oleh Remy di awal cerita juga adalah struktur penceritaan Hollywood yang sudah berulang-kali dan kebiasaan untuk filem sebegini. Plot twist di hujung filem ini tidak begitu 'menjadi' kerana secara peribadi saya merasakan ia menjahanamkan realisme di babak-babak kemuncak filem ini yang betul-betul kepuasan kepada penonton bila Jake 'menyerang' The Union dan melakukan pembedahan kepada Beth dan dirinya adalah PALSU?

Sunday, February 28, 2010

Ajami Hashim @ Fenomena Seni ~ FILEM KITA PRIMITIF

PART 1


PART 2


PART 3


PART 4


PART 5


PART 6


PART 7


PART 8