Wednesday, October 13, 2010

MAGIKA (2010) ~ pujian secara tebuk-tebuk?

pengarah & penulis skrip: Edry Abdul Halim
genre: drama fantasi muzikal
http://www.krustudios.com/magika

Magika memberikan keperluan wajib elemen penceritaan yang paling konservatif iaitu muzikal di atas tapak teknologi terkini yakni kecanggihan CGI. Siapa hendak menafikan bahawa kewajipan babak bergurindam dalam pembikinan awal filem-filem Melayu dahulu yang menekap sepenuhnya identiti filem Tamil? Filem ini seolah menyatakan "nah!" kami persembahkan pementasan besar-besaran warna-warni terlebih-lebih kemustahilan dunia fantasi ke layar perak, tetapi isinya adalah adaptasi dongeng klasik Melayu yang telah di-remix! Walaupun tak sehebat dunia filem epik atau science fiction dari Hollywood tetapi pembikin filem berbajet kecil di Malaysia juga mampu sekurang-kurangnya membikin sesuatu yang merealisasikan dunia khayalan. Adakah kita patut merasa bangga? Sudah tentu!

Itu dari sudut idea asas rangka-bina pembikinan what if yang sejujurnya saya salut. Bagaimana pula dari sudut kualiti isi cerita dan pemilihan pelakonnya?

Berikut ialah tekaan saya..setiap orang penonton yang keluar dari panggung selepas menyaksikan Magika akan sekurang-kurangnya gembira dengan kemampuan filem ini menghiburkan dari berbagai sebab. Mungkin kerana kelakarnya watak lakonan si-polan atau romantisnya watak si-anu dengan si-dia. Barangkali juga ada khalayak yang seronok dengan kemunculan seseorang pelakon yang diminati dari segerombolan bintang ternama di dalamnya. Agaknya juga kerana kebagusan special effect pada babak-babak tertentu. Eh! Sedapnya suara nyanyian si penyanyi yang itu atau yang ini. Yay! Dia pun berlakon juga dalam filem ini walaupun cameo?..atau "tak sukalah lakonan si-mamat atau si-minah tu yang kayu atau gedik!" dan lain-lain komentar. Maksud saya filem ini berjaya menimbulkan pujian (atau sebaliknya) serta berbagai reaksi dan respons hasil penontonannya secara tebuk-tebuk, bukannya secara keseluruhan.

Ya! Kalau magis dalam filem ini sudah mampu dibikin dengan bantuan teknologi, mungkin di masa akan datang KRU Studios mampu melabur pula dari sudut human capital untuk mengemaskan lagi sehabisnya naratif filem seterusnya serta betul-betul ketat membuat ujibakat untuk pemilihan pelakon utama yang terbaik ya amat! Tetapi mampukah mereka mengetepikan keperluan nafsu komersialisme?

Namun begitu Magika sesuatu yang sudah hampir sangat bagus. Hampir!

Friday, October 01, 2010

CHARLIE ST. CLOUD (2010) ~ garis halus di antara ajaib dan gila?

pengarah: Burr Steers
penulis skrip: Craig Pearce
cerita asal: novel The Death and Life of Charlie St. Cloud oleh Ben Sherwood
genre: drama fantasi supernatural
http://www.charliestcloud.com/

Filem ini mengadun kisah romantis dan kekeluargaan. Pahit dan manis. Ia mengundang rasa kasihan dan bertanya erti peluang ke-2 samada hendak digunakan untuk bergerak ke masa hadapan atau masih terperangkap dengan kenangan silam? Semuanya kerana kehilangan seseorang kesayangan yang tidak mampu dikembalikan dalam bentuk yang asal.

Plot asasnya sangat mudah. Charlie St. Cloud (Zac Efron) tidak dapat menerima kenyataan bahawa adiknya Sam St. Cloud (Charlie Tahan) sudah mati kerana kemalangan jalanraya melibatkan mereka. Lantas setiap hari dia berhalusinasi (atau mungkin benar) untuk bermain baseball dan bersembang dengan roh Sam di belukar yang dijanjikan semasa hayat adiknya. Rutin itu adalah kewajiban setiap kali selepas tembakan meriam menandakan waktu senja sudah tiba.

Ritual itu sahaja yang menjadikan kehidupan Charlie mampu diteruskan sepanjang 5 tahun berikutnya. Dia meninggalkan segala kewarasan, kepakaran meluncur kapal layar dan peluang pilihan karier lain. Charlie sanggup bekerja sebagai penjaga kubur yang berdekatan dengan belukar tempat permainannya dengan Sam.

Persoalannya adakah kita percaya?

Didatangkan pula watak Tess Carroll (Amanda Crew) gadis yang menjadi orang ke-3 di antara hubungan adik-beradik Charlie-Sam yang aneh itu. Begitu juga dengan kemunculan semula watak Florio Ferrente (Ray Liotta) ahli paramedik yang menyelamatkan nyawanya semasa kemalangan jalanraya dahulu. Florio yang sedang sakit seakan meyakinkan Charlie bahawa apa yang berlaku kepadanya ada tujuan tertentu. Segalanya akan dibuktikan dan diselesaikan apabila Charlie mula menyayangi Tess selain daripada Sam.

Filem ini boleh saya katakan sebagai sebuah melodrama yang agak menyayat hati. Penceritaanya terasa perlahan tetapi boleh diikuti dengan tekun. Ia mampu mengundang sebak setiap kali momen Charlie dan Sam bertemu untuk bercerita tentang apa saja. Naratifnya menyadurkan rasa kasih-sayang kekeluargaan yang mustahil tetapi sangat meyakinkan. Semuanya berlaku kerana keperluan untuk meneruskan pendirian hidup dari dasar sebuah kematian? Sejujurnya saya percaya, walaupun Charlie St. Cloud adalah sebuah kisah tentang remaja yang berada di atas garis halus di antara ajaib dan gila.